
"I'll find you and fall in love with you again."
Silau pedang yang saling berlaga. Bunyi logam yang saling bergeseran. Darah merah berlumuran di serata tempat. Hech mengintai dari jendela kamarnya. Kibaran bendera merah berganti biru. Montague berkuasa. Istana Capulet disirami darah! Terkocoh-kocoh gadis kecil itu berlari ke kamar ayahnya. Tangan menolak daun pintu. Gelap.
"Ayah?"
Tiada jawapan.
Saat guruh berdentum kuat, cahaya kilat menerobos melalui tingkap. Susuk tubuh sasa lelaki yang kini terbaring di lantai bersama pedang yang menembusi dadanya jelas kelihatan. Hech terpaku. Air mata mula membasah pipi mulusnya.
"Ayah!!"
Teriakan bergema di segenap ruang. Jemari menggenggam daun pintu sambil air mata tak henti-henti mengalir. Esak tangis mula kedengaran. Bunyi derap tapak kaki menghampiri Hech. Dia tak langsung berpaling.
"Cik muda! Kita kena keluar dari sini!"
Hyun menghulur tangan, mengharap Hech menyambut hulurannya. Hech tak ambil peduli. Trauma yang tak berpenghujung. Mata memandang Hyun kosong. Sesekali bahu terhinjut menahan esak. Tanpa membuang lebih banyak masa Hyun terus menarik lengan Hech supaya mengikut langkahnya.
"Hyun! Ayah.. ada pedang kat ayah! Selamatkan ayah!"
Rentap. Larian dihentikan separuh jalan. Hech merenung Hyun dalam-dalam. Budak lelaki itu menghela nafas. Perlahan-lahan dia mendekati Hech.
"Cik muda, kita dah tak banyak masa," pujuk Hyun.
Ya. Capulets ditawan dalam satu malam. Kemangkatan ayahnya bererti dia perlu berundur. Dendam sepanjang hayat!
* * * * *
"Kau curi epal tu?" kata Hech kuat. Seraya Hyun menutup mulut gadis itu; bimbang didengari.
"Mana ada curi! Aku pinjam. Kau jangan lah bising," bisik Hyun.
"Mana ada orang pinjam epal!"
"Ada. Aku?"
Euphemia dihala tepat ke leher Hyun. Pedang warisan Capulets. Pedang berdarah. Hanya dari pemerhatian sudah dapat mengagak ketajaman hujung pedang. Hyun meneguk liur. Sesekali anak mata mengerling Hech yang bagaikan tiada simpati.
"Kau nak lawan aku ke?" bicara Hyun tanpa gentar. Tangannya mula mencapai pedang yang tersisip rapi di pinggang.
"Pulangkan epal tu," arah Hech.
"Tak payah keluarkan pedang boleh kan?"
"Sebab kau ni degil jadi aku kena la pakai cara kasar."
"OK! OK!" Akhirnya Hyun mengalah. Hech senyum simpul. Euphemia tersarung kembali. Mata gadis itu memerhati jejaka tinggi lampai tadi berjalan mendekati sebuah gerai buah-buahan. Sepantas kilat epal diletak kembali tanpa ada yang sedar. Hyun kembali ke arah Hech dengan riak tak puas hati.
"Puas?" tanya Hyun bernada geram.
Hech masih senyum. Kali ini senyumnya dilebarkan.
"Kau kena belanja aku makan," paksa Hyun.
"Hidup kau memang untuk makan ke?"
"Ya. Kalau tak aku taknak kawan dengan kau."
"Eii.. Macam budak-budak!"
Sepuluh tahun menjalin persahabatan. Daripada anak seorang panglima perang menjadi kawan. Daripada cik muda bertukar panggilan. Hech berhenti. Dia memandang belakang Hyun yang berjalan mendahuluinya. Sungguh lelaki itu yang mengajarnya untuk terus bangkit. Tulang belakang waktu susah dan sedang. Ketawa saat dia tertawa. Menangis saat dia berduka. Hyun mengangkat tangan tanpa menoleh.
"Jom lah balik! Mak aku marah nanti," ujar Hyun sambil kaki terus melangkah.
* * * * *
Tanpa mengetuk terlebih dulu, Hech terus membuka pintu bilik Hyun. Lelaki itu yang sedang bersiap-siap untuk ke istana Montague terkejut bukan kepalang. Hampir luluh jantung. Bantal dilempar ke muka Hech.
"Kau tak reti nak ketuk pintu ke? Kalau aku tengah pakai baju macam mana?" marah Hyun.
"Kau tak reti nak kunci pintu ke?" Hech membalas dulang paku serpih.
"Kau nak apa sebenarnya? Masuk sini tiba-tiba. Kalau aku ada sakit jantung macam mana? Kalau aku mati tadi mak aku boleh menangis lapan tahun," bebel Hyun sambil tangan mengemas lipatan pakaian yang tersarung di tubuh. Hech duduk bersila di katil; memerhati tingkah Hyun yang ke hulu ke hilir bersiap-siap gaya hendak ke majlis.
"Hehe.. Mak kau kata kau nak pergi istana.. Ada majlis kat sana kan? Hehe.."
"Apa 'hehe..' 'hehe..' kau tu? Eii.."
"Aku.. nak ikut boleh? Hehe.."
Hyun berpaling. Mata dikecilkan.
"Tak boleh." Pendek Hyun menjawab.
"Alaaa.. bolehlah! Kau tak pernah bagi aku ikut kau kalau nak pergi tempat-tempat best!"
Renung dalam-dalam. Hyun berjeda dari terus berkata-kata. Kening lelaki itu mula berkerut.
"Kau tahu apa yang akan jadi kalau ayah aku tahu kau ikut aku pergi sana?" kata Hyun serius.
Hech diam. Ayah Hyun yang berparut di kelopak mata. Bukti setianya dia waktu berkhidmat untuk Capulet dulu. Capulet yang semakin dilupakan. Hech si pewaris tunggal. Harta Capulet yang perlu dilindungi. Melihat Hech yang diam seribu bahasa, Hyun menyambung bicara.
"Dah. Kau tak boleh ikut." Sarung pedang disilang ke bahu. Hyun mengamati wajahnya di cermin. Suasana sepi untuk beberapa ketika.
"Tapi esok hari jadi aku," Hech bersuara perlahan. Hyun mengerling dari pantulan cermin. Simpati hadir dalam hati. Keluhan berat dilepaskan.
"Hei Hech, jangan cakap macam tu."
Hyun duduk di sebelah Hech. Dia berfikir tentang sesuatu. Riak Hech berubah sugul. Sungguh dia ingin ke istana!
"Kau betul-betul nak ikut?" soal Hyun tiba-tiba. Segera Hech mengangguk.
"Janji dengan aku kau takkan pergi jauh dari aku bila kita kat sana."
Hech mengangguk lagi. Tangan kanan diangkat tanda berjanji. Hyun mengukir senyum.
"Sekarang kau pergi rumah Anna, pinjam gaun dia. Nanti kita gerak dari sana."
Kata-kata Hyun bagai sinar harapan buat Hech. Gadis itu bingkas bangun dari katil. Wajah sugul tadi berubah gembira.
"Jangan sampai mak aku tahu kau keluar!" ucap Hyun sebelum Hech keluar dari biliknya.
* * * * *
Bunyi-bunyian merdu memenuhi segenap ruang dewan. Makanan terhidang mewah di sebuah meja panjang berhampiran dinding. Ramai orang dengan berpakaian warna-warni berbual sesama mereka. Sesekali gelak tawa kedengaran. Hech teruja. Buat pertama kalinya dia menghadiri majlis semeriah itu. Hyun memerhati tingkah Hech. Hatinya senang melihat gadis itu gembira.
"Kenapa kau pandang aku macam tu?" tanya Hech apabila sedar Hyun tak lepas memandang ke arahnya. Lamunan Hyun terhenti.
"Mana ada aku pandang kau. Perasan!"
"Aku tahu lah aku tak sesuai nak pakai gaun-gaun ni. Aku tahu aku tak cantik, hodoh, gemuk."
Hyun menolak kepala Hech perlahan.
"Bodoh. Jangan fikir bukan-bukan. Kalau aku tak nengok kau kejap lagi mesti kau hilang. Bukan boleh percaya kau ni," kata Hyun.
".. Lagipun kau nampak lain bila pakai baju perempuan. Kan cantik kalau pakai macam ni hari-hari. Aku hampir lupa yang kau sebenarnya perempuan. Kalau tak 24 jam usung pedang. Fuh, takut," sambung Hyun lagi.
"Kau nak mati ke?" ugut Hech sebaik saja Hyun habis bicara. Hyun angkat bahu sambil senyum sinis. Lengan Hech dicapai supaya menuruti langkahnya.
Satu jam berlalu. Sedari tadi Hech hanya mengikut ke mana saja Hyun pergi. Tatkala lelaki itu seronok berbual, dia hanya diam membisu. Tak mengerti isu apa yang sedang mereka borakkan. Hech duduk di kerusi tidak jauh dari tempat Hyun yang sedang bergelak-tawa bersama rakannya. Gadis itu mula bosan. Ada beberapa ketika dia menguap. Salahnya berkeras untuk ke majlis itu.
"Hyun!" panggil Hech. Hyun tidak menyahut. Tak sampai gema.
Ah! Aku nak pergi tandas. Tinggal kejap mamat tu takkan hilang.
Kaki melangkah keluar dewan. Mata tercari-cari di mana letaknya tandas. Beberapa orang pengawal berdiri tegak di sepanjang kaki lima menuju ke dewan. Hati hendak bertanya arah namun mulut tak mahu bersuara. Hech berjalan mengikut naluri. Dia tiba di satu kawasan lapang yang dihiasi bermacam-macam spesies mawar. Bayu malam yang berhembus lembut menebar haruman mawar ke seluruh taman. Hech mendekati kolam yang terletak di tengah taman. Memandang ke dalam air, pantulan bulan purnama terlihat jelas.Tangan gadis itu memetik sekuntum bunga lili putih yang menyubur di sebelah kolam.
Paling cantik. Entah kenapa hatinya berbisik sendiri.
"Awak suka lili daripada semua bunga kat sini?"
Satu suara menyapa dari belakang. Seraya Hech berpaling ke arah empunya suara. Seorang jejaka berpakaian hitam tersenyum manis ke arahnya. Dia yang serba hitam begitu bersinar dalam pandangan Hech. Biarpun malam hanya ditemani cahaya bulan. Hati bergetar. Mulut Hech kaku; tak dapat melontar kata.
"Saya Em," ujar lelaki itu. Dia berjalan mendekati Hech. Segera Hech menjauhinya. Bimbang diapakan. Menyedari Hech yang sepertinya takut, Em berhenti melangkah. Hech sempat melihat lambang yang terdapat pada bendera Montague ada pada pakaian lelaki itu. Ya. Dia orang Montague! Hech cepat-cepat membuka langkah untuk berlari pergi namun Em sempat menahan. Tangannya ditarik Em.
"Nanti! Nama awak?"
Hech berpaling semula. Memandang wajah Em dengan jarak yang lebih dekat semakin membuat jantung Hech berdegup lebih laju. Dia terpana. Tangan yang digenggam Em direntap. Hech berperang dengan perasaannya.
"Awak siapa?" ulang Em. Menunggu jawapan.
"Hech."
Bunga lili di tangan kanan digenggam erat. Ya tuhan kenapa aku macam ni?
"Awak.. awak dari majlis tu?"
Mengangguk mengiakan. Sekali lagi Hech membuka langkah. Tak mahu berlama.
"Kita boleh jumpa lagi? Lain kali?"
Kata-kata Em sekali lagi menghentikan langkah Hech. Kali ini dia tidak menoleh.
"Mungkin."
"Em! Kau kat sini rupanya! Dah merata-rata aku cari kau!" Ada suara lain berteriak lantang. Leon menepuk bahu Em. Tercungap-cungap.
"Ayah kau cari. Aku sampai kena marah tadi!" sambung Leon. Em terkebil-kebil. Mencari semula kelibat Hech, gadis itu sudah tiada. Lelaki itu sempat mengeluh sebelum pergi.
"Hei Em! Kau dengar tak aku cakap apa tadi? Em!"
* * * * *
Bertalu-talu pintu diketuk dari luar rumah. Rena segera membukanya. Masuk Hech dengan pakaian lencun dek hujan lebat. Rena memeluk tubuh gadis itu. Wajahnya terasa panas. Kebimbangannya kian pudar tatkala Hech di depan mata.
"Hech pergi mana? Semua orang risau tahu tak? Kalau ada apa-apa jadi macam mana?"
Bertalu-talu pertanyaan diaju Rena. Hech hanya membisu. Rena menghulur tuala.
"Hyun dengan pakcik Han keluar cari kamu." Secangkir kopi panas diletakkan di atas meja berhampiran Hech. Gadis itu memerhati gerak geri Rena dengan mata bundarnya. Entah kenapa dia tak dapat menghambur kata. Kepalanya kosong. Jiwa masih terlekat di istana. Istana yang menemukan dia dengan sesorang yang baru.
Sekali lagi pintu diketuk dari luar. Kedengaran suara Hyun memanggil ibunya. Apabila pintu dibuka, mata lelaki itu tertancap pada Hech yang duduk di kerusi bertentangan dengan pintu. Spontan lelaki itu berlari mendapatkan Hech lalu membawa gadis itu ke dalam dakapan.
"Kau.. Kau pergi mana? Kau.. Kau dah janji kan taknak pergi jauh dari aku?"
Berusaha berkata-kata dalam mencari nafas. Titis-titis air dari rambut Hyun jatuh ke bahu Hech.
"Aku.. Aku dah janji.. Aku dah janji akan lindung kau dengan nyawa aku.."
Hech masih membisu.
"Hyun Laurence. Anak Han Laurence, panglima perang Capulets." Salam bersambut baik. Hech senyum. Kawan pertama di istana.
"Nama awak?" sambung Hyun.
"Hech Capulet."
"Cik muda?!"
Hech ketawa kecil.
"Sebab ayah awak panglima perang jadi awak sebagai anak dia kena lindungi saya dari segala ancaman serigala!"
"Serigala? Ta.. Tapi saya tak reti.."
"Tak kira. Ini satu perintah!"
Hyun terkebil-kebil.
"Ba.. Baiklah. Dengan nyawa saya menurut perintah, cik muda." Hyun meniru kata-kata yang sering meniti di bibir ayahnya.
* * * * *
"Lusa adalah hari perkahwinan kamu dengan Rian. Jangan terlambat."
Bergema kata-kata itu di telinga Em. Majlis yang diadakan tadi merupakan majlis pertunangannya. Dia menongkat dagu memandang rintik-rintik hujan yang turun membasah bumi. Cahaya bulan yang tadinya terang kini sembunyi di balik awan hitam. Senyum sendiri. Teringat dirinya akan gadis bergaun merah hati yang melawat tamannya. Entah kenapa hatinya berdebar. Si misteri itu bagaikan menghantui.
Hech. Siapa dia?
* * * * *
Hech berbaring di atas rumput yang menghijau. Angin senja yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa rambut ikalnya. Pedang Euphemia dihala ke langit merah. Pancaran matahari memantulkan kilauan. Memandang wajah dari pedang, rasa rindu terhadap si ayah menebal semula.
Mengiring ke kanan. Mata tertancap ke arah tumbuhan berbunga putih tak jauh dari tempat dia berbaring. Hech bangun dan menghampiri kawasan bunga-bunga itu hidup membiak liar. Jari memetik sekuntum darinya. Gadis itu duduk sambil tersenyum sendiri. Teringat kembali lelaki semalam.
Siapa dia dalam kalangan Montagues.
Keluhan berat. Fikiran kembali kepada ayahnya.
"Ayah, hari ni hari jadi Hech. Ayah ingat tak?" omel gadis itu sendiri.
"Selamat hari jadi."
Sekuntum bunga lili putih terhulur dari belakang. Hech terkejut. Dia bingkas bangun dan menghunus pedangnya. Tergamam dirinya melihat lelaki yang baru saja menjengah fikirannya tadi kini di depan mata. Em yang turut tersentak dengan kelakuan Hech mempamer reaksi terkejut. Tak lepas dia memandang Hech. Begitu juga Hech yang asyik memerhati jejaka itu. Sesaat kemudian mereka tertawa. Pedang dialih arah.
"Awak buat saya terkejut," kata Hech. Dia mengurut dada.
"Awak pun buat saya terkejut. Saya fikir awak nak serang saya dengan pedang tu."
Mereka ketawa lagi. Em menghulur semula bunga lili yang berada di tangannya. Kali ini hulurannya disambut baik oleh Hech. Mereka sama-sama mengambil tempat di atas rumput.
"Semalam kita tak sempat berbual panjang kan?" ujar Em memula sesi perbualan.
"Hmm.." pendek Hech menjawab. Hanya senyuman terukir di bibir. Lupa sudah segala kerunsingan mengenai kaitan antara Montague dengan jejaka itu.
"Awak buat apa kat sini?" tanya Em. Tak sangka dapat bertemu kembali dengan gadis itu.
"Buang masa? Awak?"
"Ni tempat rahsia saya."
"Jadi saya menceroboh la ni?"
Em gelak.
"Tak lah. Saya dah hadiahkan tempat ni sempena hari jadi awak."
"Yakah? Mana boleh macam tu!"
Em hanya senyum. Dia merenung wajah Hech lama.
"Awak kenal saya kan?" soal Em tiba-tiba. Hech berfikir sejenak.
"Nama awak Em?" Persoalan dibalas persoalan.
"Saya Em Montague, pewaris takhta Montagues."
Persoalan yang bermain dalam benak fikiran Hech kini terjawab. Senyum yang tadinya mekar kini semakin hilang dari wajah Hech. Gadis itu bangkit. Dia cuba mempamer senyum hambar.
"Dah lewat ni, saya kena balik," kata Hech. Dia ingin menyembunyi rasa hati.
"Tapi kita baru jumpa."
"Lain kali kita boleh jumpa lagi."
"Saya hantar awak balik?"
"Tak apa. Rumah saya dekat-dekat sini."
Diam. Angin saja yang bersuara. Hech memandang Em begitu juga dengan Em.
"Kita boleh jumpa lagi? Esok?"
"Mungkin?"
Memerhati bayang Hech yang semakin menghilang, Em tak sabar menanti esok. Esok yang bakal menentukan cara hidupnya. Tangan dibawa ke dada. Jantung masih berdegup laju.
* * * * *
Lidah kelu tak dapat bersuara. Dipandang satu persatu wajah-wajah yang menunduk hormat ke arahnya. Hech terkesima. Tangannya menggigil. Hyun tidak terkecuali daripada kumpulan besar manusia yang sedang menunduk hormat. Hutan yang menyimpan rahsia. Hech tidak menyangka mereka yang pernah berkhidmat untuk Capulets suatu ketika dahulu bersembunyi di hutan belantara.
"A-Apa ni?" Menggeletar lidah. Malam hari lahir yang penuh kejutan.
"Genap sepuluh tahun kejatuhan Capulets, kami warga-warga yang bersumpah setia dengan nyawa dan darah bangkit untuk menuntut bela," kata salah seorang daripada mereka. Hyun tiba-tiba berdiri; merenung Hech dari jauh.
"Takdir kau untuk jadi pewaris takhta Capulets, Hech. Kita kena dapatkan hak kita dari Montagues!"
Kata-kata Hyun mendapat sorakkan daripada seluruh kumpulan manusia di situ. Hech telan liur. Apa yang dia dengar bagaikan mimpi ngeri. Peristiwa sepuluh tahun dulu bermain semula di dalam kepala seperti ada pita perakam. Darah merah di merata tempat. Guruh yang memancar. Pedang yang menembusi dada ayahnya. Semuanya mimpi ngeri!
Terjelopok ke lantai bumi. Dia baru sedar mengapa dia diajar untuk mahir menghayun pedang. Hech tak sanggup. Takdir seolah-olah tidak memihak kepadanya sedang dalam diri ada perasaan baru mekar untuk orang Montague.
"Hech, ini impian kita. Impian semua orang. Sekarang kau pemimpin Capulets."
Diam. Tak mampu tanggung.
"Kau lupa? Malam tu, ayah kau.. Kau mintak aku selamatkan ayah kau.."
Suara Hyun dekat di telinga. Antara dia dan darah yang mengalir dalam dirinya. Hech Capulet bangun, bergenang air mata.
"Demi Capulets, Hech serahkan nyawa dan darah."
Pangkal Euphemia digenggam erat.
Ayah.. Ayah dengar tak? Hech nak tuntut hak ayah.
* * * * *
Malam itu bulan kembali memunculkan diri. Istana Montague meriah dengan aneka bunyi. Malam perkahwinan pewaris dua empayar besar antara Britainnia dan Montague. Em berdiri di ruang balkoni; memerhati warna-warni cahaya mercun yang diletupkan sempenan menyambut hari perkahwinannya. Dia langsung tak ambil peduli. Fikiran dihantui bayang Hech.
"Em! Kau tak siap lagi ke? Kejap lagi majlis nak mula!"
Suara Leon memecah kesunyian bilik Em. Lelaki itu menghampiri Em yang mendagu dia ruang balkoni.
"Kau kenapa? Majlis dah nak mula ni. Nanti ayah kau marah aku!"
Em merenung Leon.
"Aku rasa aku suka kat orang lain."
"Kau jangan macam ni. Masalah ni!"
Em merenung Leon lagi. Kali ini agak lama.
"Aku nak jumpa dia!"
Berjalan memasuki ruang stor, tali dicapai lalu dibawa keluar. Leon langsung tidak menghalang. Dia terpinga-pinga memerhati kelakuan Em, sepupunya. Saat Em mula mengikat tali tersebut di tembok balkoni, Leon baru dapat menangkap apa yang sedang difikir Em.
"Apa aku nak cakap kat ayah kau nanti? Kau memang sengaja nak bunuh aku ke?" ujar Leon menggelabah. Em mula memanjat tembok.
"Cakap je aku ada hal mustahak. Esok aku balik."
"Gila!"
"Tolonglah aku Leon. Kau kawan terbaik aku."
Sebaik saja Em menghabiskan sebaris ayat itu, dia turun ke tanah menggunakan tali yang diikat pada tembok balkoni. Leon mati akal.
* * * * *
"Hech. Walau apa pun jadi jangan pergi jauh dari aku," bisik Hyun kepada Hech. Hech masih dalam lamunannya. Memandang kosong jauh ke hadapan. Hyun menggenggam jemari Hech membuatkan gadis itu kembali ke alam realiti. Dia kemudiannya mengangguk perlahan.
Berbekalkan semangat orang-orang yang ingin menuntut bela demi Capulets, Hech menghayun pedangnya keluar. Berjarak beberapa meter dari istana Montague, gadis itu berteriak lantang.
"Demi orang-orang Capulets dan ayah, kami datang menuntut bela!"
Pedang dihala ke langit malam. Tanda peperangan bermula. Tiada yang sedar, air mata mengalir dalam diam.
* * * * *
Loceng kecemasan dari arah istana dibunyikan. Em yang belum jauh dari arah istana berpaling semula. Perlbagai persoalan bermain dalam kotak fikiran. Apa yang dah jadi? Kecemasan? Memikirkan tanggungjawabnya untuk Montague Em berlari pulang.
Saat kuda putihnya menghampiri kawasan istana, mata sudah dapat menangkap api yang sedang marak membakar di segenap ruang istana. Em segera turun dari kuda; menghunus pedang ke setiap orang yang menghalang perjalanannya untuk pintu masuk istana.
Apa yang berlaku ni?
Kibaran bendera Merah milik Capulets ada di mana-mana. Kali terakhir dia melihat bendera merah seperti itu adalah sepuluh tahun yang dulu. Mayat bergelimpangan. Bunyi letupan kedengaran di mana-mana bersama geseran pedang. Em sedar. Capulets datang menyerang!
"Ayah!" kuat Em memanggil. Tangga batu didaki pantas. Istana yang hampir musnah. Sampainya dia di ruang tengah istana, dia melihat kelibat seorang yang amat dia rindukan. Gadis itu gah menghunus pedang; menumbang lawan.
"Hech!"
Hech menoleh ke arah Em. Hatinya dirundung sebak. Air mata menderas. Genggaman pada pedang mulai longgar. Em ingin mendekati Hech namun pantas saja Hech menghala hujung pedang ke arah Em. Langkah lelaki itu terhenti.
"Jangan dekat! Darah Montague dalam diri kau buat aku rasa jijik!" ucap Hech kuat.
"Hech.. k-kenapa?"
"Aku Hech Capulet. Seluruh keturunan yang membawa dendam terhadap benda biru!"
Em tergamam. Bagai ada halilintar menyambar dasar hatinya. Pedang pada tangannya dijatuhkan. Dia terduduk di lantai. Melihat keadaan Em, Hech jadi tak sampai hati. Setapak demi setapak dia mendekati Em. Euphemia tidak lagi berada dalam genggaman.
"Dunia tak adil, kan?"
Jemari gadis itu menyentuh tangan Em. Mata tak lepas memandang jejaka yang berjaya memenangi hatinya dalam diam.
"Kenapa saya ditakdirkan untuk jatuh cinta kat awak sedangkan awak dari pihak yang berbeza?"
Kepala didaratkan ke bahu Em. Em yang masih tergamam.
"Kenapa kita jadi mangsa permusuhan yang tak ada penghujung ni?"
Giliran Em untuk mengalir air mata. Setiap kata-kata Hech meresap masuk dalam jiwanya. Kebenaran yang baru terang. Em memegang wajah Hech, memaksa gadis itu memandang terus ke dalam matanya.
"Kita lari?" cadang Em. Dengan linangan air mata.
"Hech! Jauh dari dia!"
Teriakan kuat dari Hyun. Pedang dihunus laju merapati Em. Hech menolak Em jauh. Pedang menembusi dada. Darah merah pekat mengalir dari tubuh Hech. Terketar-ketar dia memegang pedang milik Hyun yang kini tertusuk di tubuhnya.
"Hech!" jerit Em. Tak menyangka gadis itu akan berbuat sedemikian rupa. Dia kembali mendapatkan Hech; membawa Hech ke pangkuan. Hyun terduduk menggeletar. Silap langkah.
"Hech.. Hech kenapa..." Hyun menggumam; memandang Hech yang kini terbaring lesu.
"Hech! Kenapa awak buat macam ni!?" menitis air jernih ke wajah Hech. Menggigil suaranya.
"Saya dah penat.. haa.. haa.. Hyun.."
Tangan menggapai-gapai ingin mendapatkan Hyun namun Hyun kaku di tempatnya.
"Hyun.. t-terima kasih.." ucap Hech perlahan.
"Hech. Awak bertahan! Saya nak minta tolong orang.."
"T-Tak.. tak apa.." Pergelangan tangan Em digenggam lemah.
"Awak jangan mati... tolong.. saya ada benda nak cakap kat awak.."
Gadis itu melukiskan senyuman di bibirnya. Darah mengalir dari mulut.
".. Kat mana pun kita terpisah, saya akan cari awak. Saya akan tetap jatuh cinta kat awak lagi."
Pedang yang berada tidak jauh dari situ dicapai Em. Tanpa berfikir panjang lelaki itu menghunus hujung pedang ke jantungnya. Perlahan-lahan tubuh sasa itu menjatuh ke lantai. Jemari menggenggam tangan Hech.
"S-Saya.. Saya akan cari awak."
Dunia mulai gelap.
_________________________________________________________________________________________________________________
YUHUUUU~~ Ni draf masa birthday Myungsoo semalam. HAHAHA. Aku baru post hari ni. Sebab aku takde hadiah nak bagi dia so aku buat hadiah untuk aku la KAHKAHKAH. Akhir akhir ni aku terlalu suka kat Kirito dan Asuna sebab tu aku letak gambar dorang dalam ni HIHI. Gila punya aku ship Kirito dengan Asuna ;__; Aku tengok dorang mesti aku teringat Romeo Juliet. Pedang pedang bagai HEOL Jadi aku buat cerita Romeo X Juliet versi aku so aku ada pakai nama Capulets, Montague bagai la dalam ni tapi jalan cerita dia felamak aku ubah ikut suka aku. Cerita ni takde pengajaran baik sebab main bunuh bunuh diri. Kepada bebudak bawah umur jangan baca. Ni hanya hiburan untuk orang orang yang telah dewasa U_U Buat benda ni dalam masa sehari jadi jangan hirau tatabahasa dan ejaan bagai. Dan cliffhanger tu mmg aku sengaja buat. Entah sejak bila aku suka cerita cerita cliffhanger ni. Sedar tak Hech tu senanye H dan Em tu senanye M? HAHHAHA Sampai sini saja kita berjimbaan. Esok aku punya cuti habis sobs ;_; jyaa~



